July 10, 2006

cuti

Filed under: monolog

bismillahirrahmanirrahim… assalamua’laikum wbt….

10 julai 2006.. dah 3 minggu imamdesa ‘bercuti’… dan sepanjang tempoh tu… memang imamdesa tidak tahu apa yang berlaku dalam alam cyber… emm… lepas ni ke jakarta… yeahh.. cuti lagi…. :)

terima kasih kepada pengirim2 komen.. juga yang mengirim emel… dan tahniah… buat adik2 dan sahabat2 yang akan memulakan semester baru pengajian di menara gading… macam2 pengalaman yang imamdesa dapat dalam tempoh 3 minggu ni… cuma untuk berkongsi dan menterjemahkan dalam bentuk kata2… pak imam tak reti….

ok. semoga jumpa lagi… mungkin ada oleh2 lepas pulang dari jakarta nanti… wassalam…  

June 17, 2006

tunggu…

Filed under: monolog

Mengapa menanti?

Karena walaupun kita ingin mengambil keputusan, kita tidak ingin
tergesa-gesa.
Karena walaupun kita ingin cepat-cepat, kita tidak ingin sembrono.
Karena walaupun kita ingin segera menemukan orang yang kita cintai,
kita
tidak ingin kehilangan jati diri kita dalam proses pencarian itu.

Jika ingin berlari, belajarlah berjalan duhulu,
Jika ingin berenang, belajarlah mengapung dahulu,
Jika ingin dicintai, belajarlah mencintai dahulu.

Lebih baik menunggu orang yang kita inginkan, daripada memilih apa yang
ada.
Tetap lebih baik menunggu orang yang kita cintai, daripada memuaskan
diri dengan apa yang ada.
Tetap lebih baik menunggu orang yang tepat, kerana hidup ini terlampau
singkat untuk dilewatkan bersama pilihan yang salah, karena menunggu
mempunyai tujuan yang mulia dan misterius.

Perlu kau ketahui bahwa bunga tidak mekar dalam waktu semalam,
Kota Rom tidak dibangun dalam sehari,
Kehidupan dalam rahim selama sembilan bulan,
Cinta yang agung terus bertumbuh selama kehidupan.

Kebanyakan hal yang indah dalam hidup memerlukan waktu yang lama, dan
penantian kita tidaklah sia-sia.
Walaupun menunggu memerlukankan banyak perkara - iman, keberanian, dan
pengharapan - penantian menjanjikan sesuatu yang tidak seorangpun dapat
bayangkan.

Akhirnya, Tuhan dalam segala hikmat-Nya, meminta kita menunggu, karena
ada alasan yang penting.


imamdesa mungkin akan berehat buat seketika… jadi kepada semua… sabarlah menanti… Tuhan dalam segala hikmatNya… meminta kita menunggu… kerana ada alasan yang penting… wassalam…

June 16, 2006

di medan ini…

Filed under: muqaddimah
                      
di antara mereka… ada yang telah membenarkan janji-janji Allah… dan Allah telah membeli dagangan mereka… kata saidina abu bakar as siddiq r.a:
"apakah agama islam itu mundur sedangkan aku masih hidup?" 

khutbah jumaat…

Filed under: kuliah


masjid di khortum, sudan

Seorang penyair Islam iaitu Muhammad al-Fituri telah menyusun satu madah seolah-olah bicaranya dengan Rasulallah Sallallahu’alaihi wasallam yang berbunyi: "Duhai Nabiku… ke atas mu seafdhal salam ku sampaikan, dari umat yang kehilangan, dicampak tamadun barat yang sesat. Duhai Nabiku… sejak kita timbus lautan dengan ampangan, kami semua mati, dada kami dipijak ternakan Yahudi."

BEGITULAH untaian syair rintihan daripada seorang umat kepada nabinya demi menyatakan keadaan umat Islam sekarang. Lebih menyedihkan, survival umat Islam kini semakin terancam dengan pelbagai tekanan yang dihadapi terutama yang datangnya daripada musuh-musuh Islam yang sentiasa melaungkan slogan permusuhan terhadap Islam dan umatnya. Peperangan di Iraq, Afghanistan, Chechnya dan Kashmir, persengketaan agama di Indonesia dan lain-lain tempat, masih lagi berlanjutan hingga sekarang. Ditambah pula dengan penderitaan rakyat Palestin yang kita sendiri tidak tahu bilakah kesudahannya, semuanya menggambarkan kepada kita betapa umat Islam kini sedang berhadapan dengan tentera-tentera salibiyah abad baru yang bukan sahaja cuba untuk menjajah bumi umat Islam, tetapi lebih daripada itu, mereka berusaha menjajah aqidah umat Islam.

Kalau kita membaca di dalam kebanyakan buku-buku sejarah yang ditulis oleh orentalis, ataupun penulis yang telah menerima didikan Kristian barat, mereka menekankan bahawa faktor pasaran perdagangan menjadi motif utama penjajahan barat ke atas negara-negara di timur. Perkara inilah yang sentiasa disogokkan di sekolah-sekolah sebagai bahan pelajaran sejarah. Namun, jika diteliti dengan mendalam, tujuan sebenarnya hanyalah untuk mengaburi mata umat Islam ditanah jajahannya, seolah-olah kedatangan mereka bukan sebagai musuh.

Mengikut kajian ahli sejarah yang sebenar, permusuhan kafir barat terhadap umat Islam pokoknya adalah disebabkan oleh faktor aqidah dan keagamaan, adapun faktor politik dan ekonomi itu hanyalah faktor sampingan. Di antara bukti-buktinya kita dapati dalam senikata lagu peransang peperangan bangsa Itali yang berbunyi :
"aku berangkat ke Tripoli dengan riang dan gembira… agar aku dapat mempersembahkan darahku, buat menghancurkan umat Islam terkutuk, akan ku perangi agama Islam, akan ku harungi peperangan sepenuh hati, untuk membanteras al-Quran… kalau orang bertanya kepadamu ibu, mengapa ibu tidak bekabung dengan kematiaanku? Maka jawablah wahai ibu… demi matiku dalam memerangi agama Islam."

Yang mana akhirnya bangsa Itali telah berjaya menakluki kota Tripoli pada tahun 1911.

Bukti kedua ialah petikan daripada ucapan bekas ketua perancang Kementerian Luar negara Amerika, katanya: "… wajib kita sedar bahawa pertikaian antara kita dengan dunia arab bukan sahaja perselisihan antara manusia dan negara, akan tetapi adalah perselisihan antara tamadun Islam dan Kristian. Pertikaian ini sudah lama sejak abad pertengahan hingga sekarang, hanya caranya sahaja yang berlainan…"

Dengan dua petikan tadi jelaslah bahawa tujuan penjajahan Yahudi dan Nasrani khususnya di timur tengah adalah untuk menghancurkan Islam, malah penubuhan negara haram Israel juga adalah sebahagian perencanaan mereka. Kita tidak pernah lupa akan apa yang pernah ditegaskan oleh bekas Perdana Menteri Britain yang berketurunan Yahudi bernama Gladstone, yang mana dia berucap: "… menghapuskan Islam adalah suatu kewajipan, selagi al-Quran berada di tangan orang Islam, maka selama itu Barat tidak berupaya menguasai Timur."

Oleh itu, kita umat Islam perlu sedar bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani selama-lamanya akan memandang Islam dengan pandangan permusuhan, penuh kedengkian dan kefanatikan, malah mereka seia sekata dalam gerakan menghancurkan Islam serta merosakkan umatnya. Sesungguhnya amat benar dan amat tepatlah firman Allah subhanahu wa taa’la di dalam surah al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud: "orang Yahudi dan Nasrani tidak merasa redha dan senang kecuali setelah engkau menurut cara hidup mereka."


dome of rockKita pernah diperingatkan oleh Ketua Pengarang majalah al-Alam al-Islami dalam tulisannya, yang menyatakan: "bahawa dunia Masihi biarpun daripada bermacam-macam asal-usul dan bangsanya, kesemuanya adalah musuh yang menentang dan memerang Timur umumnya dan Islam khususnya. Semua negara Nasrani bermuafakat untuk menghancurkan kerajaan Islam dengan jalan apa sahaja yang dapat mereka lakukan."

Selain Yahudi dan Nasrani, komunis juga turut memerangi Islam, ini dapat kita lihat dalam kenyataan yang dibuat oleh ketua pengarang sebuah akhbar komunis pada tahun 1952 dengan katanya: "… adalah satu perkara yang mustahil untuk dapat teguhnya ajaran komunis sebelum terhapusnya ajaran Islam sampai keakar-umbinya."

Oleh itu musuh-musuh Islam terus menerus menyusun rancangan bertujuan untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Pertama, rancangan mereka adalah untuk menghapuskan sistem pemerintahan Islam. Rancangan itu disusuli dengan gerak kerja sehingga jatuhnya kerajaan Islam Uthmaniah yang terakhir di Turki pada tahun 1924.

Seperti mana yang terpahat dalam catatan sejarahnya, pada abad ke-16 Turki merupakan sebuah kerajaan Islam yang terbesar menguasai dan memerintah Jazirah Arab hingga ke sempadan Eropah iaitu Afrika Utara dan Morocco serta sebahagian negara-negara Eropah barat yang terkenal sekarang dengan nama Romania, Bulgaria, Yunani, Yugoslavia dan Hungary. Mereka menjadikan Laut Hitam dan Laut Mediterranean sebagai lautan Islam malah ketua-ketua negara digelar Khalifah. Pada ketika itu kerajaan Bani Uthmaniah amat ditakuti oleh negara-negara Eropah dan kaum Masihi barat.

Namun, oleh kerana pemimpin Bani Uthmaniah ketika itu leka dan lalai hingga tenggelam dalam lautan kemewahan hidup, dan telah mabuk dengan segala macam kesenangan dan kenikmatan duniawi, maka akhirnya jatuh kerajaan Islam satu persatu ketangan penjajah Barat, sehingga diadakan perjanjian damai yang terkenal dengan persidangan Luzan. Dalam perjanjian itu, Inggeris telah mensyaratkan beberapa syarat kepada kerajaan Turki, jika hendak daerah-daerah yang dijajahnya dikembalikan. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

1. Hapuskan Khilafah Islamiyah ; usir khalifah dari Turki yang mana akhirnya dilaksanakan oleh anak didik Barat bernama Mustafa Kamal Atarturk.

2. Turki mesti membasmi semua gerakan yang dilaksanakan oleh penyokong-penyokong khalifah.

3. Turki mesti memutuskan hubungan dengan negara-negara Islam.

4. Turki dipaksa mengambil satu perlembagaan moden Barat bagi menggantikan perlembagaan yang berlandaskan Islam.

Begitulah yang telah tercatat dalam sejarah umat Islam. Oleh itu, dalam kepantasan perjalanan kita menuju ke hadapan, yang kadang-kadang meletihkan, rupa-rupanya amat perlu juga kita menoleh ke belakang, ke dalam lipatan peradaban yang kita warisi, untuk mencari semangat, kekuatan dan pendekatan baru. Mulianya umat Islam apabila Islam diamalkan dan hinanya umat Islam apabila Islam ditinggalkan.

Marilah kita bersatu menyusun langkah kita untuk membawa umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar seterusnya mendaulatkan kembali agama ini. Jangan kita rasa berputus asa dan bersedih kerana Allah akan sentiasa menolong orang-orang yang ingin menolong agama-Nya. Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 104 yang bermaksud:"Janganlah kalian berhati lemah menghadapi musuh. Jika kamu menderita, musuh-musuh juga menderita seperti derita mu itu, bahkan kamu masih punya harapan daripada Allah, apa yang mereka tidak punya. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

Adalah menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk menghubungkan kembali umat Islam dan negara-negaranya yang telah diputuskan oleh penjajah dan menukar perlembagaan ciptaan Barat kepada perlembagaan Islam yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah. Sesungguhnya tugas ini masih belum selesai sehingga hari kiamat seperti kata penyair Iqbal:"Jangan menyangka bahawa tugas pembawa bejana itu telah selesai, kerana anggur itu masih punya seribu perahan lagi yang belum disentuh."

Akhirnya, marilah sama-sama kita renungkan firman Allah Taa’la di dalam surah al-Baqarah ayat 193 yang bermaksud:"dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadikan agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti, maka tidak ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim."

June 14, 2006

pengumuman

Filed under: muqaddimah

bismillahirrahmanirrahim… assalamualaykum…

artikel riwayat hidup sheikh sayid abul hasan ali an nadwi r.a itu telah saya tulis beberapa bulan lalu atas permintaan para sahabat yang inginkan saya menulis sesuatu dalam buletin Seruan Jumaat. alhamdulillah… saya dapat menulisnya hasil bimbingan tulisan guru saya  sheikh abu ali al banjari an nadwi al maliki h.a yang mana beliau adalah murid kepada sheikh abul hasan an nadwi. buku tersebut ialah Sheikh Abul Hasan An Nadwi; riwayat hidup dan pemikirannya. artikel ini hanya ringkasan daripada apa yang telah ditulis beliau. sebagai rujukan juga digunakan buku sejarah Islam di India juga oleh sheikh abu ali al banjari.

insyaAllah pada 21 JUN 2006 akan diadakan kuliah Kitab Hikam Ibnu Atho’illah oleh sheikh abu ali al banjari h.a  di Anjung Rahmat, Gombak jam 8.00 malam. semua dijemput hadir. sebarang perubahan akan dimaklumkan.

sheikh sayid abul hasan ali an nadwi r.a

Filed under: manaqib

Sheikh Abul Hasan Ali Al Hasani An Nadwi; Pemikir Agung dan Pendakwah Ulung


"Saya mengenali keperibadiannya dan juga karya-karyanya. Saya mendapati pada dirinya hati seorang muslim yang sejati dan pemikiran Islam yang tulen. Saya mendapati beliau sentiasa hidup dengan Islam dan untuk Islam. Saya kira bukan saya seorang sahaja yang mencintainya tetapi semua orang yang mengenalinya pasti mencintainya, bahkan sesiapa yang lebih mengenalinya pasti akan bertambah kecintaan terhadapnya…" Sheikh Prof. Dr. Yusuf Al Qardhawi

DEMIKIANLAH kata-kata pujian yang tulus dari seorang sahabat dan juga murid Sheikh Abul Hassan Ali An Nadwi r.a, menggambarkan kepada kita ketinggian peribadi dan sahsiah beliau. Nama asal beliau ialah Ali bin Abdul Hayy bin Fakhruddin bin Abdul Aliy al Hasani. Nasabnya sampai kepada Abdullah bin Asytar dan seterusnya sampai kepada Hasan bin Ali bin Abi Talib r.a. Dilahirkan pada 6 Muharram 1333H/1914M di Takia Kala, Rae Berily, India, beliau amat bertuah kerana dilahirkan dan dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang amat berpegang teguh dengan ajaran Islam. Ayahnya Sayyid Abdul Hayy seorang ulama’ di India manakala ibunya juga seorang pendidik dan hafaz al Quran serta syair-syair sejarah Islam dalam bahasa Urdu.

Sejak kecil lagi Sheikh Abul Hasan telah didik dengan pelbagai ilmu pengetahuan meliputi bahasa Arab, nahu, syair, sastera Arab, tafsir, fiqh, hadis dan sebagainya. Ramai dikalangan gurunya datang dari India dan ada juga di antara mereka yang datang dari Madinah. Diperingkat awal, beliau hanya belajar di rumah dan di madrasah Nadwatul Ulama’. Setelah itu beliau mengorak langkah keperingkat yang lebih tinggi di Universiti Lucknow dan di sini, beliau telah   berjaya mencapai kecemerlangan tertinggi dalam bidang  Bahasa Arab. Kemudian beliau meneruskan lagi pengembaraan ilmunya hingga membawa beliau ke Lahore. Di sinilah dia bertemu dengan seorang sarjana dan pemikir agung dunia Islam iaitu Dr. Muhammad Iqbal. Kekaguman beliau dengan karya-karya Iqbal mendorong beliau untuk menterjemahkan beberapa syair Iqbal daripada Bahasa Urdu kepada Bahasa Arab, walaupun usianya pada ketika itu hanya sekitar 15 tahun sahaja. 

Kecintaan beliau yang mendalam terhadap bidang pendidikan dan dakwah mendorong beliau menginfaqkan hampir seluruh kehidupannya untuk menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat. Pengalaman dakwah ini menjadikan beliau seorang yang matang dan berpandangan jauh dalam menghadapi liku-liku dakwah dan pahit-getir yang terpaksa dilalui dalam lapangan ini. Lebih setengah abad daripada usianya digunakan untuk berdakwah hingga membawa beliau ke serata penjuru dunia Islam dan Barat. Antara negara-negara yang telah beliau lawati ialah Jazirah Arab, Hijaz, Syria, Sudan, Palestin, Eropah dan Asia Kecil malah hingga ke Nusantara termasuk Malaysia. Di setiap tempat yang beliau lawati, beliau akan bertemu dengan para ulama’ dan pemimpin tertinggi kerajaan kerana agama itu sepertimana yang pernah diucapkan oleh Rasulallah adalah mengikut kepimpinannya. Jika baik kepimpinan maka akan baiklah rakyat dan pemerintahan.

Mencontohi pendekatan dakwah ulama’-ulama’ terdahulu seperti Imam As Sirhindi r.a dan Maulana Ilyas r.a, serta beberapa tokoh Islam yang agung, Sheikh Abul Hasan telah membawa suatu manhaj dakwah dan tarbiyah yang menyeluruh, dengan menggabung jalinkan beberapa manhaj dan pendekatan, menjadi suatu kombinasi di antara sistem lama yang berkat dengan sistem baru yang bermanfaat. Menurut beliau, kefahaman yang jitu terhadap dasar-dasar dakwah akan menjadikan seorang daie’ benar-benar berdakwah untuk Allah bukan untuk kepentingan peribadi atau selainnya. Prinsip yang perlu ada ialah berdakwah untuk kebaikan umat seluruhnya bukan untuk keuntungan kelompok atau diri sendiri. Dasar-dasar yang digariskan beliau dalam melaksanakan dakwah itu merupakan himpunan daripada dasar "At Tasallub Fi Al Usul" iaitu tegas pada prinsip dan "Al Murunah Fi Al Wasail" yakni anjal dalam perlaksanaan.




Usaha gigih Sheikh Abul Hasan dalam menyampaikan kalimah haq bukan sahaja dikagumi oleh dunia Islam malah mendapat pengiktirafan daripada masyarakat Barat khususnya di Eropah. Banyak undangan ceramah dan seminar yang beliau terima daripada institusi-institusi terkemuka di Eropah seperti di Geneva, Paris, Cambridge, Oxford, Glasgow, Edinburgh dan Sepanyol. Rata-rata dikalangan pendakwah dan mereka yang terlibat dalam dunia pendidikan, baik di Timur mahupun di Barat mengenali tokoh ini. Malah adakalanya walaupun tidak berkesempatan mengenali peribadi beliau secara langsung tetapi apabila kita membaca hasil-hasil karyanya kita akan merasakan seolah-olah beliau adalah guru kita yang duduk bersama-sama kita.

Siapa yang tidak terkesan bila mana membaca karya agung beliau berjudul "Apakah Kerugian Dunia Akibat Kemunduran Umat Islam" yang pernah pada suatu ketika menggoncang hati para pemimpin dan ulama’ di dunia Arab. Hingga sekarang karya yang berusia lebih 50 tahun itu, tetap menjadi rujukan umat seluruh dunia malah telah diterbitkan dalam berbagai-bagai bahasa seperti Inggeris, Parsi, Urdu, Arab, Hindi, Melayu dan lain-lain. Beliau telah berjaya membuka pandangan sempit pemimpin dunia Islam yang menganggap bahawa kekayaan material yang dimiliki oleh masyarakat Eropah adalah segala-galanya sedangkan mereka di sana telah bankrap dari segi pemikiran dan kerohanian. Dengan pandangannya yang tajam, Sheikh Abul Hasan Ali An Nadwi berjaya membawa suatu natijah yang berguna untuk mengeluarkan umat manusia daripada kongkongan hidup jahiliyah moden kepada naungan Islam yang sebenar. Sebagaimana yang beliau nukilkan bahawa hanya umat Islam sahaja yang layak untuk mentadbir dan mengatur dunia ini, tanpa Islam dunia akan menghadapi penderitaan dan kerugian walaupun manusia memiliki segala kecanggihan dan kemudahan hidup. 

Setelah seluruh hidupnya diperjuangkan untuk medan dakwah dan menyebarkah risalah Allah, akhirnya peribadi ulung ini dijemput ke hadrat Allah SWT pada tengahari Jumaat, 23 Ramadhan 1420H bersamaan 31 Disember 1999 di kediamannya di Takia Kala, Rae Berily di India dalam usia 87 tahun. Sebagai mengenang jasa beliau yang telah dicurahkan untuk kepentingan agama, maka telah diadakan solat jenazah ghaib di dua tanah suci iaitu di Masjidil Haram di Makkah al Mukarramah dan di Masjid Nabawi di Madinah al Munawwarah pada malam 27 Ramadhan 1420H.

Pemergiaannya dirasakan sebagai suatu kehilangan permata yang amat berharga. Perjuangan dakwahnya yang tidak mengenal noktah itu, seharusnya menjadi contoh dan ikutan oleh generasi kini. Beliau pernah berpesan kepada generasi muda bahawa belia-belia Islam yang bakal memimpin umat pada masa akan datang sangat perlu diisikan dengan ilmu, tazkiyah ruhiyyah, semangat juang dan sifat zuhud dari dunia. Kalau tidak, akan dibimbangi mereka akan kecundang dalam menghadapi cabaran akhir zaman. Kepetahan lidah dalam berucap dan keluasan ilmu belum dapat memberi kesan yang terbaik kalau tidak disertai dengan kekuatan rohani yang mantap.


"Selamat jalan wahai mujahid". Semoga Allah SWT mencucuri rahmat yang luas ke atasmu dan semoga engkau bersama-sama dengan para anbiya’, auliya’ dan para kekasih Allah. Amin.

munafik

Filed under: monolog


MUNAFIK ITU

Munafik itu…!

Muncul lagi…

Salahkah jika kukatakan dia munafik???

Andai semalam di peti kaca itu

Kulihat dia bertudung litup…

Hari ini sudah tidak bertutup…

Semalam kulihat lagaknya bagai santri…

Hari ini dia di majlis tari menari…

Semalam kulihat dia berdakwah…

Hari ini dia bagaikan orang yang tak punya maruah…

Tidak munafikkah itu?

Dihadapan orang beriman katanya…

"Kami telah beriman"

Tetapi dihadapan syaitan-syaitan mereka…

"Sesungguhnya kami tetap bersamamu dan itu hanya lakonan"

Bila disanggah ada sahaja yang membela

Kononnya kami ini professional belaka

Tolak hukum Allah dan hukum dunia

Terus kukatakan inilah penghancur agama!!!

Desa Bakti, 3:30 am.

Khamis, 30/03/2006

maaf agak emosi sedikit… mm.. memang agak geram bila memikirkan durjana yang dibawa oleh filem dan cereka… semuanya agenda musuh merosakkan bangsa dan agama. sajak ni pernah saya posting suatu ketika dulu dalam Bicarasufi.com….

June 13, 2006

dalam basah hujan…

Filed under: monolog

bismillahirrahmanirrahim… assalamualaykum wbt…

kulit buku the unromantic orient - muhd asad

segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam… "katakan (Muhammad) Dialah Allah Tuhan yang Esa."… salawat serta salam buat Nabi dan Rasul junjungan Muhammad SAW, kepada ahli keluarga dan para sahabat baginda… Allah meredhai mereka semua…

sepanjang hari ini hujan, dari pagi tadi dan bawa sampai ke petang… hujan yang mencurah-curah… semoga membawa bersamanya rahmat.. membersihkan dosa-dosa semalam…

syukur kepada Allah tuhan pemilik alam… kerana hingga saat ini masih lagi mengurniakan iman dan islam… mengeluarkan manusia daripada lorong-lorong yang gelap kepada cahaya yang menerangi hati dan fikiran.

alhamdulillah… setakat ini rasanya dah beberapa hari saya bersama-sama imamdesa. walaupun dalam keterbatasan waktu dan kedhaifan diri, kugagahi juga memenuhi tanggungjawab ini… berdakwah dan mendidik jiwa… melalui berkarya.cukuplah andai yang terdidik itu adalah diri sendiri kalau tidak pun sampai kepada orang lain. kita hanya mentadbir dan merancang… ketentuannya di tangan Tuhan.. Allah penentu segalanya… kerana seperti kata muallim… hidup kita bukanlah seperti lukisan di mana kita bebas melakarkan segala macam perkara… keindahan yang kita gambarkan dan inginkan. kerana yang indah dan tak indah itu telah ditentukan. kadang2 yang tak indah itulah sebenarnya keindahan hakiki kita… maka bersyukurlah.

kontrak imam di sini rasanya dah hampir tamat. lama juga bermukim di desa indah permai ini. sampai tercetus idea untuk menamakan blog ini dengan imamdesa. cuti pun rasanya masih panjang… wallahua’lam.. moga2 dapat dimanfaatkan untuk agama dan iman..

usia cukup berharga… inilah masanya untuk mengisi segala kekurangan diri, ilmu dan ibadah dikala usia masih muda. kalau tidak sekarang, bila lagi?? hari ini umat islam terlalu meminggirkan nilai2 agama. perkara2 fardhu ain langsung tak mendapat tempat pertama dalam kehidupan.yang dikejar ilmu akedemik buat guna untuk hidup dalam alam fana. buktinya apa? buktinya sekarang amat mudah kita menemui doktor, jurutera, peguam, ahli muzik, saintis dan macam2 lagi… sedangkan untuk melahirkan ulama’… ntah bila akan berhasil. jangankan untuk melahirkan seorang mujtahid, melahirkan ustaz yang mengajar ali ba ta sahaja semakin hari semakin sukar. perginya para ulama’ mu’tabar… bukanlah seperti pepatah melayu patah tumbuh hilang berganti kerana perginya mereka tiada berganti. perginya mereka maka hilanglah segala ilmu yang tertanam dalam dada mereka. jadi… siapa pula akan menjadi pewaris mereka?

maahad az zein bogor - foto abuanis di dala... 2003 maahad az zein - thanx abuanis

ilmu dunia semakin hari semakin canggih. pernah ada kawan bercerita… mungkin kemajuan yang ada sekarang akan terus berkembang hinggalah manusia mampu mengenderai angin seperti Nabi Sulaiman a.s, membelah lautan seperti Nabi Musa a.s dan mungkin membelah bulan seperti Nabi Muhammad SAW. wallahua’lam. tapi… bagaimana pula dengan ilmu agama. mampukan ummah melahirkan semula fakeh seperti imam syafie’… sufi seperti al ghazali… dan mujahid seperti salahuddin al ayubi? merenung sejenak ke depan, jika ditakdirkan umur panjang, apa akan jadi dengan generasi mendatang…? dan…

sebenarnya.. kita lah penerus penyambung warisan… kalau tidak kita yang memakai nama Islam, siapa lagi mampu diharapkan… walau berat, walau mencabar, tetap kita kena teruskan. itupun kalau kita masih sayangkan agama ini. dan buat kalian… teman2 yang akan belajar atau sedang belajar agama… teruskan! aku dibelakang kalian….! insyaAllah….

June 12, 2006

sepasang mata itu…

Filed under: tazkiyyah

bismillahirrahmanirrahim… assalamualaykum wbt…

segala puji bagi ALLAH, Tuhan semesta alam.. salawat serta salam buat Rasul junjungan Muhammad SAW, kepada ahli keluarga baginda juga para sahabat… mereka semua diredhai ALLAH.

pagi ni agak lewat ziarah imamdesa. tapi malam tadi sebelum tidur, sempat juga tok imam mengarang puisi buat muslimah-muslimah di luar sana… bukan puisi indah untuk bermadah.. tetapi puisi yang mudah, buat mereka yang masih mencari-cari arah… MUSLIMAH…

ingatkah dikau dalam sejarah?

sepasang mata menjadi hadiah

"mengapa engkau mengikutiku?"

"kerana aku tertarik dengan kecantikan matamu."

cukup angkuh si lelaki memberi jawapan

tapi akhirnya melutut penuh penyesalan

disaat bungkusan merah diterima ditangan

aku tertanya-tanya?

mengapa kau menghadiahkan senyuman?

mengapa mempamerkan wajahmu yang menawan?

sedangkan mereka itu bukan mahram

apakah untuk menguji jiwa?

atau sengaja mengundang fitnah dunia

sesungguhnya wanita itu telah menemui ajalnya

namun dia pergi dengan redha Tuhannya

diiringi keinsafan seorang lelaki

yang akhirnya menjadi sufi

terlalu mahal harganya sebagai galang ganti

contohilah wanita itu

bukan dengan mencungkil matamu

cukuplah andai kau mampu

menjaga diri menghiasi keperibadianmu

aku sekadar berpesan

teguhlah dirimu di atas landasan

jangan goyah… berdirilah dengan ketegasan

sifat kelembutanmu itu bukan kelemahan

ia hiasan keperibadian iman… desabakti::2.00pagi::12jun2006

June 11, 2006

berhibur tiada salahnya…

Filed under: kuliah

   

       Islam tidak pernah sama sekali melarang umatnya daripada berhibur kerana ia merupakan fitrah bagi setiap insan yang mana memerlukan hiburan untuk menghiburkan jiwa dan menenangkan fikiran. Namun begitu, Islam amat menekankan bahawa bentuk hiburan yang dibolehkan adalah selama mana ia tidak dicampuri oleh perkara-perkara yang kotor, tercela dan hiburan yang tidak membawa kepada perbuatan dosa. Islam juga tidak melarang kalau hiburan tersebut disertai dengan muzik yang tidak membangkitkan nafsu malah disunatkan pula dalam situasi gembira seperti pada hari raya, perkahwinan, menyambut kedatangan orang yang sudah lama tidak bersua, di majlis walimah, aqiqah dan di saat menyabut kelahiran seorang bayi. Perkara ini diterangkan oleh hadis Nabi SAW iaitu dengan sabda baginda:

"Daripada Aisyah r.a bahawa ketika dia menghantar pengantin perempuan ke tempat pengantin leleki Ansar, maka Nabi bertanya: Hai Aisyah, apakah mereka ini disertai dengan suatu hiburan? Sesungguhnya orang ansar gemar sekali dengan hiburan." (HR Bukhari).     

                                                        

Dalam riwayat yang lain: "Dan daripada Aisyah r.a sesugguhnya Abu Bakar pernah masuk kepadanya, sedang disamping beliau ada dua gadis yang sedang menyanyi dan memukul gendang pada hari Mina (aidul adha), sedang ketika itu Nabi SAW menutup wajahnya dengan pakaian, maka diusirlah kedua-dua orang gadis itu oleh Abu Bakar. Nabi SAW membuka wajahnya seraya berkata kepada Abu Bakar: biarkanlah mereka itu hai Abu Bakar, sebab hari ini adalah hari raya (yakni untuk bergembira)". (HR Bukhari dan Muslim).

Dalam menafsirkan hadis-hadis ini, al-Imam Hujjatul Islam Imam Ghazali r.h berkata bahawa hadis-hadis ini semuanya tersebut di dalam shahih Bukhari dan Muslim dan merupakan nas yang tegas bahawa nyanyian dan permainan bukanlah diharamkan dalam Islam. Adapun hadis-hadis Nabi SAW yang melarang nyanyian, semuanya ada cacat, tidak ada satu pun yang selamat daripada dipertikaikan oleh para ulama seperti yang pernah diucapkan oleh Al-Qadhi Abu Bakar bin al-Arabie: " Tidak ada satu pun hadis yang sah yang berhubungan dengan diharamkan nyanyian". Namun, apa yang dicela oleh para alim ulama berkenaan hiburan pada masa kini ialah bentuk hiburan yang banyak sekali dicemari oleh nyanyian dan muzik yang berlebih-lebihan, perbuatan yang melampaui batas syariat, meminum arak dan melakukan perbuatan yang haram dalam syariat Islam. Maka itulah yang kemudiannya dianggap oleh para ulama sebagai perbuatan yang haram atau makruh. Sebahagian ulama ada mengatakan bahawa nyanyian itu adalah termasuk dalam "lahwatul hadis" yakni perbuatan yang melalaikan seperti mana yang telah difirmankan oleh Allah SWT:

"Di antara manusia ada yang membeli perbuatan yang dapat melalaikan untuk menyesatkan (orang) dari jalan Allah tanpa disedari, dan dijadikannya sebagai permainan . Mereka itu kelak akan mendapat seksaan yang hina." (Surah Luqman:6).

Dalam kita membicarakan berkenaan hukum, perlu juga untuk kita membicarakan beberapa persoalan dan masalah yang berhubung dengan hiburan (nyanyian) ini. Antaranya ialah:

1. Nyanyian itu harus diperuntukkan bagi sesuatu yang tidak bertentangan dengan etika dan ajaran Islam. Oleh itu, seandainya nyanyian-nyanyian tersebut misalnya penuh dengan puji-pujian terhadap arak dan menggalakkan orang meminum arak maka menyanyikan lagu tersebut hukumnya haram, dan pendengarnya juga haram juga. Begitulah juga dengan nyanyian-nyanyian yang lain yang dapat disamakan dengan contoh tadi.

2. Mungkin penyanyi itu sendiri tidak menghilangkan pegangan Islamya, tetapi cara dia menyanyi itu seandainya beralih daripada halal kepada yang haram, contohnya dengan melakukan tarian dan gaya lenggang lenggok yang membangkitkan nafsu, menimbulkan fitnah serta meganjur kepada perbuatan maksiat, maka itu juga dikira haram.

3. Sebagai mana Islam melarang sikap berlebih-lebihan hatta dalam beribadah sekalipun, maka begitu juga halnya berlebih-lebihan dalam hiburan adalah dilarang sama sekali. Islam menegah umatnya daripada menghabiskan masa hanya dengan berhibur sedangkan ‘waktu’ itu sendiri bererti kehidupan. Oleh itu, tidak dapat diragukan lagi bahawa berlebih-lebihan dalam perkara-perkara Mubah itu dapat merugikan masa kita dalam melaksanakan kewajipan dan ketaatan. Tepatlah kata ahli hikmah: " Tidak pernah saya melihat suatu perbuatan yang berlebih-lebihan melainkan disebalik itu ada suatu kewajipan yang terbuang."

4. Apabila sesuatu nyanyian itu boleh menaikkan syahwat, menimbulkan fitnah dan membangkitkan nafsu kebinatangannya, maka wajib untuk seseorang itu meninggalkan nyanyian tersebut dan dia harus menutup pintu-pintu yang membolehkan bertiupnya angin fitnah. Ini bertujuan demi menjaga hatinya, agamanya dan budi luhurnya sehingga dengan demikian itu dia mendapat ketenangan dan kegembiraan.

                                      

5. Sudah disepakati bahawa nyanyian yang disertai dengan perbuatan-perbuatan haram seperti maksiat kepada Allah, pergaulan yang tiada batas antara lelaki dan wanita hingga berlakunya fitnah dan lain-lain lagi, maka di sinilah Rasulullah mengancam perlakunya dan pendengarnya dengan ancaman seksaan yang amat pedih sebagai mana sabda baginda:

 " Sungguh akan ada beberapa orang daripada umatku yang minum arak, mereka namakan dengan nama lain, kepala mereka itu telah dilalaikan oleh bunyi-bunyian dan nyanyi-nyanyian, maka Allah akan menenggelamkan mereka itu ke dalam bumi dan akan menjadikan mereka seperti kera dan babi." (HR Ibnu Majah).

Kesimpulannya, Islam tidak pernah melarang umatnya daripada berhibur malah Islam amat menggalakkan umatnya supaya hidup gembira dan damai. Namun dalam berhibur, Islam amat mementingkan agar umatnya dapat memenuhi segala tuntutan syariat di mana hiburan itu sendiri dapat membantu untuk mempersiapkan diri melaksanakan ibadah dan kewajipan yang telah ditetapkan. Hiburan-hiburan yang dianjurkan oleh Islam ialah sesuatu yang lebih kepada latihan yang dapat mendidik diri umatnya ke arah menjadi manusia yang berjiwa kental, dan mampu mempersiapkan diri untuk maju ke medan perjuangan jihad fi sabilillah.

artikel ini saya tulis dan terbitkan dahulu untuk Seruan Jumaat  edisi ke-2 11 julai 2003/11 jamadilawal 1424.